Selepas tamat pengajian pada 2004, saya menghabiskan housemanship (internship) saya dalam Jabatan Perubatan dan Pembedahan di Ireland. Pulang ke Malaysia, saya menyambung housemanship selama 4 bulan dalam Bidang Perbidanan dan Sakit Puan.
4 bulan yang penuh pengalaman yang sukar dilupakan.
- Wanita yang suda ada dua orang anak, hamil anak luar nikah dengan kekasihnya.
- Remaja 15 tahun yang dirogol bapa tirinya sehingga melahirkan anak.
- 'Single Parent' yang melarikan diri dari wad selepas melahirkan anak dan meninggalkan bayinya di wad.
- Wanita yang sukar hamil, selepas 10 tahun bernikah akhirnya hamil tetapi kehamilan yang sangat mencabar kerana berat badannya hampir 120 kilogram.
- Pengalaman diterajang dibahagian perut oleh pesakit yang kesakitan hendak melahirkan anak, sedangkan ketika itu saya juga hamil.
Tetapi, ada satu pengalaman yang betul-betul buat saya marah. Seorang wanita bersabung nyawa melahirkan anak yang ketiga, dengan suami di sisi. Sempat suaminya berkata dengan saya,
"Harap-harap dapat anak lelaki. Sebelum ini dah dua anak perempuan,".
Saya hanya tersenyum, dalam kesibukan membantu ibu muda itu, dalam hati saya apa yang penting ketika itu adalah nyawa ibu dan bayi.
Sebaik saja bayi comel itu dilahirkan, saya dan jururawat yang bertugas mengucapkan syukur Alhamdulillah. Terlihat wajah gembira dan lega pada si ibu.
Namun, berbeza pula dengan wajah si bapa apabila dia melihat bayi itu berjantina perempuan. Tidak akan saya lupakan kata-kata yang keluar dari mulut lelaki itu.
"Terpaksalah cari isteri baru lah macam ni. Nak dapat anak lelaki," kata lelaki itu sambil tersenyum kelat.
Tiada ucapan terima kasih untuk si isteri yang baru sahaja menanggung kesakitan melahirkan zuriatnya. Tiada langsung kucupan tanda kasih buat si isteri. Yang ada hanyalah kata-kata yang pastinya menyinggung hati pasangannya.
Saya tidak dapat menyembunyikan wajah marah saya. Saya kerling si ibu muda yang masih keletihan, sedang dibersihkan oleh jururawat selepas uri dikeluarkan. Dia cuba tersenyum kepada saya seolah-olah berkata 'Tak mengapa doktor,'.
Saya keluar dari bilik itu secepat mungkin sebelum saya berkata sesuatu yang mungkin saya akan sesali kemudian hari.
Kalau pun si suami itu mungkin tidak mengetahui bahawa hanya kromosom X dan Y darinya yang menentukan jantina anak, bukannya salah si isteri melahirkan anaknya perempuan. Bukankah sebagai seorang beriman, kita wajib menyakini itu semua qadha dan qadar Allah?
Jangan rendahkan diri serendah orang jahiliyah seperti yang dikecam Allah dalam Surah An-Nahl.
Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat iman kita. - Azlindarita