Lelaki Mengamuk, Meludah Disebabkan Kena Hon Di Tahan Polis
PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki berusia 58 tahun di rumahnya di Subang Jaya selepas dia menyerang seorang pemandu wanita kira-kira tengah malam tadi, kata Timbalan Ketua Polis Subang Jaya, Supt Tan Ah Chua.
Lelaki itu mengamuk kerana pemandu wanita berkenaan telah membunyikan hon terhadapnya berikutan pemanduannya keluar masuk laluan secara berbahaya.
Dia melepaskan marahnya dengan merosakkan kereta wanita berkenaan dan meludah di cermin keretanya.
Dalam kejadian yang dipos di laman Facebook lalu menjadi viral itu, lelaki berkenaan menghentikan kenderaan SUV-nya di tengah jalan sebelum keluar lalu menumbuk cermin tingkap kereta Alisia Thean, selain meludah serta merosakkan pengelap dan cermin sisi kereta wanita berkenaan.
Dalam postingnya yang mendapat 5,000 perkongsian serta lebih 1,000 komen itu, Thean menulis dia membunyikan hon terhadap pemandu SUV di hadapannya kerana pemandunya kerap bertukar laluan secara berbahaya. Lelaki berkenaan ketika itu juga membawa seorang penumpang wanita.
Katanya, selepas menghentikan keretanya secara tiba-tiba di hadapannya, “lelaki itu kemudian mengetuk cermin tingkap kereta, merosakkan alat pengelap dan mematahkan cermin sisi kereta saya.”
Posting itu juga menyiarkan 15 keping gambar lelaki berkenaan melakukan perbuatan berkenaan dengan gambarnya serta SUV-nya jelas kelihatan.
Thean juga memberitahu pengguna Facebook yang meninggalkan komen, dia sudah melaporkan kejadian berkenaan kepada polis yang mengesahkan ia jelas perbuatan buli jalan raya.
Awal tahun ini di Kuantan, seorang wanita menyerang seorang lelaki selepas keretanya dilanggar dari belakang.