SEORANG wanita yang mendakwa dirinya pernah bekerja di mahkamah untuk dua hakim wanita bagi puak penentang kerajaan Syria dikenali sebagai kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) mendedahkan satu kisah mengerikan tentang bekas majikannya.
Menurut wanita terbabit yang berjaya melarikan diri daripada organisasi militan yang terkenal dengan keganasan itu, dia pernah bekerja sebagai jurubahasa untuk dua hakim wanita dikenali sebagai Um Abdullah al-Said dan Roaa Um Khotaba al-Tunisi.
Lina (bukan nama sebenar) berkata, sepanjang bekerja dengan Um Abdullah di El Mayadin, Syria dia menyifatkan hakim wanita itu seorang yang baik hati termasuk menjatuhkan hukuman yang ringan jika pesalah merupakan orang miskin.
Bagaimanapun seorang hakim wanita lain iaitu al-Tunisi amat kejam malah meminta kepala seorang kafir sebagai mas kahwin apabila ada pemimpin tempatan mahu menikahinya.
Sebelum itu, suami al-Tunisi yang merupakan pejuang ISIS telah terbunuh selepas terlibat dalam pertempuran di Kota Kabani, Syria.
Pemimpin ISIS Abu Bakr al-Baghdadi kemudiannya mencadangkan supaya al-Tunisi bernikah semula memandangkan usianya baru 30an.
Abu Bakr yang mempertimbangkan permintaan mas kahwin al-Tunisi memutuskan, mas kahwin itu boleh ditunaikan dengan cara memenggal kepala seorang tahanan perempuan.
Tidak lama selepas itu Um Abdullah ditangkap kerana didakwa menjadi tali barut Arab Saudi, dijatuhi hukuman mati seterusnya dijadikan tahanan yang dipenggal kepalanya sebagai mas kahwin untuk al-Tunisi.
Lina berkata, dia ada bertanya kepada pasukan Hisbah yang melaksanakan hukuman potong tangan, penggal kepala, rejam dan melempar pesalah dari bumbung berkaitan kesalahan Um Abdullah namun dinasihatkan jangan banyak bertanya demi keselamatan diri sendiri.
Sesungguhnya, kisah diceritakan Lina ini hanyalah sebahagian daripada kisah kekejaman ISIS yang kini menguasai sebahagian wilayah Iraq dan Syria. – MYNEWSHUB.CC