Tidak ramai yang mengetahui asal usul nama Tok Bali, Kelantan. Pelbagai versi yang diceritakan kepada penulis dari manakah nama kawasan yang terkenal dengan pesisir pantai cantik dan kawasan perikanan ini di berikan. Ada yang kata ia berasal dari pokok bali, limau bali dan juga Bali Indonesia. Namun, cerita yang popular sejak dahulu ia diberi nama bersempena seorang nelayan berasal dari Bali, Indonesia yang memasuki perairan pantai Kelantan dengan perahu yang karam sebelum terdampar di pesisiran. Penduduk tempatan yang tinggal berhampiran menemuinya dan mempelawa nelayan dari Bali tersebut tinggal di situ untuk beberapa tahun sebelum balik semula ke Bali. Dari situlah, kawasan tersebut di beri nama Tok Bali, yang merujuk kepada nelayan dari Bali, Indonesia. Kisah ini difahamkan berlaku pada beberapa abad yang lalu. Sejauh mana kesahihan, tidak dapat dipastikan. Apapun, jom kita baca apa yang menarik di Tok Bali.
Tok Bali terkenal dengan terminal pendaratan ikan segar hasil tangkapan nelayan tempatan. Sebut sahaja ikan Tok Bali, ramai warga Kelantan yang mengakui kesegaran ikan yang ditangkap nelayan tempatan. Pasar basar Tok Bali atau dikenali pasar TIBA (Terminal Ikan Bali) sering menjadi tumpuan bagi mendapatkan hasil laut yang segar seperti ikan, udang dan sotong.
Pasar Ikan Segar di Tok Bali. Di sinilah ikan didaratkan oleh nelayan tempatan |
Tok Bali Bay – Bangunan berhampiran Pasar |
Pemandangan di bawah jambatan Tok Bali |
Bagi kaki pancing tegar, bolehlah menaiki bot sewa atau persendirian untuk memancing di tengah laut. Malah, penulis juga pernah turun memancing dengan ‘speed boat’ di perairan Tok Bali dan di kawasan muara sungai bersebelahan jambatan Tok Bali. Berkelah sambil memancing bersama keluarga. Sungguh mengujakan. Tidak sabar pula ingin berkunjung semula ke Tok Bali bila berkesempatan nanti.
Selain kawasan perikanan, tumpuan utama Tok Bali sudah tentulah destinasi pelancongan yang menarik. Antara landmark utama ialah replika kapal serta jambatan melengkung kira-kira 300 meter panjang dan tinggi 100 meter bagi membolehkan bot nelayan melaluinya. Di kawasan pesisir pantai sepanjang kuala sungai itu juga merupakan lokasi sesuai untuk berkelah bersama keluarga. Pesisir pantai yang cantik disaluti pasir yang putih serta landai semestinya menarik pengunjung untuk bercuti merehatkan minda.
Jambatan yang agak tinggi di Tok Bali |
Jambatan yang agak tinggi di Tok Bali |
Jika anda ingin bercuti di Tok Bali, terdapat resort popular bertaraf empat bintang, iaitu Tok Aman Bali Beach Resort yang semestinya memberi ketenangan dan keseronokan apabila berkunjung ke Tok Bali Kelantan. Selain Tok Aman, terdapat beberapa lagi chalet persendirian yang terdapat di kawasan berhampiran. Antaranya Dee Wana Resort dan Bali Beach Village Resort. Namun, jika anda ingin menginap di luar kawasan Tok Bali, terdapat juga resort lain yang tidak kurang hebatnya seperti Sudara Resort, Permai Chalet, Seri Nipah dan juga Villa Danialla yang terletak di jalan Pantai Melawi-Tok Bali. Resort-resort ini semua berada di pesisir pantai mengadap Laut Cina Selatan.
Dengan adanya pelbagai resort pilihan, tidak lengkap jika tiada restoran kegemaran ramai di kawasan berhampiran untuk dikunjungi. Terdapat beberapa restoran di tepi jalan yang dibuka bermula waktu petang sehingga lewat malam. Suasana malam juga lebih meriah di waktu musim cuti sekolah. Meggi Ketam Cherang Ruku serta Juara Ikan Bakar Tok Bali adalah dua restoran yang agak terkenal yang menjadi tumpuan pelancong domestik mahupun penduduk setempat. Gambar meggi ketam pernah jadi fenomena di FB Cuti-Cuti Kelantan tahun lepas. Mungkin kerana unik dan ramai yang belum pernah melihat menu sebegitu.
Jika anda merancang untuk bercuti merehatkan minda, hari keluarga atau berbulan madu, datanglah ke Tok Bali Kelantan. Pastinya meninggalkan seribu satu kenangan apabila berada di pesisiran pantai Laut Cina Selatan di Pantai Timur Malaysia.
Bagaimana untuk ke Tok Bali
- Dari Kota Bharu Kelantan – Perjalanan dari bandar Kota Bharu ke Tok Bali mengambil masa 45 minit pemanduan dengan jarak 45 km melalui Bachok atau Pasir Puteh.
- Dari Kuala Besut Terengganu – Jika anda dari Terengganu, boleh menuju ke Kuala Besut yang juga merupakan pintu masuk ke Pulau Perhentian. Dari Kuala Besut boleh terus menuju ke Tok Bali yang jarak hanya 12 km.
Aktiviti yang boleh dilakukan di Tok Bali
- Menginap dan beristirehat di resort atau chalet
- Berkelah dan bersantai bersama keluarga
- Memancing di tepi pantai dan muara
- Mengunjungi pasar pendaratan ikan
- Fotografi dan BBQ
sumber: cuti2kelantan