Tudung, Sebuah Singkapan Persepsi

No Comments




Assalamualaikum kepada semua pembaca blog saya, sekali lagi Alhamdulillah Allah kurniakan saya ruang dan waktu untuk berkongsi kepada anda semua mengenai sebuah topik yang sering membingungkan masyarakat. Tudung.



Tidak pelik, tetapi masih ada golongan yang menganggap memakai tudung sahaja sudah dikira menepati syarak menutup aurat ; maka mereka tidak merasa bersalah mendedahkan aurat di bahagian lain asalkan bertudung.



Bukanlah ingin dibincangkan bahawa salah memakai tudung, tetapi persepsi dan pemahaman kita mengenai isu di balik tabir ini yang dikaburi kabus-kabus.

Pertama, kita akan bincangkan mengenai aurat. Apa itu aurat?

Aurat merupakan bahagian anggota badan yang telah ditetapkan Allah supaya kita menutupnya daripada golongan bukan mahram seperti dalam firman Allah s.w.t. :



"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka (terjemahan langsung adalah: 'dan hendaklah mereka menutup dada mereka dengan penutup'); dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada


  • suami mereka atau

  • bapa mereka atau

  • bapa mertua mereka atau

  • anak-anak mereka, atau

  • anak-anak tiri mereka atau

  • saudara-saudara mereka atau

  • anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau

  • anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau

  • perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau

  • orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan

  • kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan


dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."
[Surah an-Nur : 31]


Ayat tersebut menjelaskan wanita tidak dibolehkan mendedahkan bahagian aurat mereka kecuali kepada golongan-golongan yang Allah s.w.t. telah sebutkan dalam ayat tersebut.






Saya mahu pakai tudung, tetapi saya ingin mendedahkan lengan saya. Bagaimana?

Ramai kalangan wanita yang suka mengikut fesyen-fesyen di televisyen dan iklan di mana wanita tersebut bertudung tetapi mendedahkan lengan. Perlu diketahui bahawa aurat wanita adalah :



"Kesemua anggota badan kecuali tapak tangan dan wajah sahaja."



Terdapat juga mereka yang mengenakan pakaian lengan pendek tetapi menutup bahagian lengan mereka dengan stokin tangan. Ini adalah salah kerana stokin tangan tersebut akan melekat pada lengan saudari semua dan mendedahkan bentuk lengan saudari, dan mendedahkan bentuk badan adalah dilarang sama sekali. Begitu juga memakai pakaian yang ketat. Mendedahkan lekuk bentuk badan akan mengganggu bukan mahram yang melihat.




Kenapa stokin tangan dijual? Kerana terdapat pakaian seperti baju kurung yang licin seperti sutera dan apabila mereka menaikkan tangan mereka, kain tersebut tersingkap, maka di situlah fungsi stokin tangan hadir.



Bagaimana pula dengan spesifikasi tudung yang sesuai?



Tudung yang bagus adalah yang menutup bahagian dada dan tidak terlampau jarang. Dilarang pula untuk wanita mengenakan sanggul rambut yang terlampau tinggi kerana dilarang oleh nabi s.a.w.. Gunakan scarf rambut dengan baik dan selesa. Sebaiknya menggunakan tudung yang lebar, terdapat banyak di pasaran yang baik kualitinya.






Bagaimana mereka yang mengenakan purdah?




Terdapat wanita yang tidak inginkan wajah cantik mereka daripada difitnah kerana hal ini sering berlaku pada zaman dahulu(bahkan sekarang), bukan sahaja lelaki, bahkan terdapat sahabat nabi s.a.w. yang kacak yang mengenakan penutup muka agar tidak difitnah.




Tujuan utama adalah untuk mengelakkan fitnah dan mata tajam lelaki. Tidak salah jika tidak mengenakan purdah. Haruslah istiqomah(berniat untuk teruskan sesuatu yang baik dalam jangka masa panjang) dalam menutup aurat, kerana Allah gemar mereka yang walaupun beramal sedikit tetapi istiqomah.. InshaAllah.

Sumber

back to top