Jadilah Manusia Yang Bermanfaat - Kisah Teladan

No Comments



Assalamualaikum kepada semua pembaca dan pengunjung setia blog ini. Maaf admin jarang menulis di blog sementara waktu ini, kerana terikat dengan menelaah bidang IT di Mantin ini. Namun alhamdulillah, Allah selalu beri saya peluang seperti ini untuk menulis kepada anda semua, saya bersyukur pada-Nya, kerana saya hanyalah hamba yang hina.



Baiklah, dalam pengisian kali ini, saya ingin mengupas mengenai menjadi manusia yang bermanfaat. Sejak kebelakangan ini, saya mendapati pengajian saya terganggu dengan beberapa isu. Bermula kecil, akhirnya menjadi tertekan.



Duduk seketika bersama sahabat-sahabat saya di gerai hadapan tempat tinggal kami, termenung saya memikirkan masalah. Akhirnya saya tersedar, matlamat saya semakin menyimpang.



Teringat sewaktu saya mula-mula berhasrat untuk menyambung pengajian. Saya azam untuk menjadi seorang manusia yang bermanfaat kepada orang lain. Namun kesibukan dunia membuatkan saya semakin lupa, semoga Allah ampuni kita semua.



Pernah diceritakan bahawa seorang lelaki yang miskin, tinggal di pedalaman utara menangis kerana sedih dengan kehidupannya.



Dia melihat ke bumbung rumahnya, lalu dia menangis dan berdoa, "Ya Allah, aku sayu melihat atap rumah ini."



Kemudian dia berdiri, bersandar di pintu rumahnya melihat hujan membasahi bumi, maka dia turut menangis membasahi pipi dan berdoa, "Ya Allah, kawasan kami ini kerap dinaiki air hingga membantut usaha seharian kami."



Isterinya datang dan mengusap bahu suaminya, "Wahai suamiku, penduduk lain turut bersedih dengan situasi kawasan kita. Saya berdoa, agar setidaknya kita menjadi manusia yang bermanfaat untuk orang lain. Tiada yang lebih mengembirakan saya daripada melihat orang ramai tersenyum dengan kebaikan kita lakukan."



Maka dia mengusap pipi isterinya, lalu membuka selembar kertas bersama pensil. Dia tidak mempunyai komputer, radio dan sebagainya. Tetapi dia mempunyai kepakaran dalam menyusun strategi dan memanfaatkan sesuatu.








gambar hiasan





Malam itu, mereka berdua tidur dan tersenyum, kerana esok mereka akan bangkit dengan segar, bersujud pada yang Esa, dan memulakan misi.



"Rahman, ada apa datang ke mari?"



"Saya, mahu pinjam beberapa bahan untuk bertukang bang."



Pak Saleh tersenyum lalu membawa Rahman ke bilik stor, dan terkesimalah Rahman melihat peralatan di ruang tersebut. Mesin, aluminium, atap zink, semuanya lengkap.



"Pakai lah yang mana kamu rasa perlu, abang tak akan lupakan kebaikan yang kamu pernah lakukan pada kami dulu, sehingga kami berjaya sebegini."



"Saya mahu bantu orang kampung saya, sedih melihat keadaan rumah mereka."



Mereka berdua tersenyum, Pak Saleh gembira, Rahman sudah bersemangat seperti dahulu. Rahman merupakan golongan elit dan terpelajar. Ilmu yang dia ada sangatlah tinggi, tetapi pemalu dan pendiam orangnya. Sejak kematian ibunya, tiada yang lebih menyedihkan baginya. Maka dia pilih untuk tinggal di rumah usang ibunya. Isterinya Zulaikha setia bersamanya.



Hari itu, Rahman sudah berjaya membaiki surau kampungnya. Para penduduk terkedu apabila sistem audio surau berfungsi oleh azan daripada Rahman sendiri. Maghribnya, ramai penduduk berpusu-pusu ingin ke surau mendapatkan redha dan rahmat Ilahi.



Ada yang menangis, melihat surau bersih, cerah dengan cahaya lampu yang selama ini rosak tidak dibaiki. Ada juga yang dengki, namun Allah lebih mengetahui hati Rahman.



Imam masjid berterima kasih dengan Rahman, gembira kepakaran Rahman digunakan ke arah sesuatu yang lebih bermanfaat.



Ketika mengeteh bersama sahabat-sahabat di surau usai solat Isyak, Rahman menyeru beberapa orang sahabat untuk membantunya di esok hari bagi membaikpulih beberapa rumah orang kampung yang rosak. Mereka bersetuju.



Waktu semakin berlalu, dan ramai penduduk kampung gembira dengan keputusan yang memberansangkan, hasil usaha Rahman dan sahabat-sahabat. Mereka turut membaiki sistem sungai yang kerap menjadi punca utama banjir di kawasan tersebut. Sahabat Rahman, Irsyad yang memberikan idea untuk membaiki sistem perparitan mereka. Penduduk turut dinasihati agar tidak membuang sampah ke dalam sungai, kerana sungai tersebut bakal digunakan untuk tempat beriadah dan mengambil air wudhuk.



Hasil kumpulan wang dan derma yang serba sedikit daripada penduduk kampung, wang tersebut dapat digunakan untuk membayar Pak Saleh yang telah menyumbang banyak peralatan dan bahan-bahan. Walaupun Pak Saleh ikhlas memberikan peralatan tersebut, namun penduduk tetap berkeras untuk memberikan wang sebagai tanda terima kasih.



Penduduk kini dapat bergerak ke bandar, dan menjalankan pekerjaan dengan mudah kerana jalan sudah tidak dibasahi air banjir. Surau juga telah dinaiktaraf menjadi lebih cantik, dan para ilmuwan berkumpul di surau untuk membincangkan isu agama. Bas sekolah turut diminta agar membawa pelajar-pelajar di sini untuk menuntut ilmu ke sekolah.



Alhamdulillah, semuanya semakin indah dan selesa dengan izin Allah. Rahman mengusap jemari isterinya, tanda syukur kepada-Nya. Alangkah sedih umurnya tidak panjang, namun Allah memuliakannya dan memberkatinya, kerana masyarakat mendapat manfaat daripada apa yang diusahakan Rahman.



Wallahu alam, semoga kisah ini menjadi tauladan untuk saya dan anda semua supaya berusaha menjadi manusia yang berguna, kepada agama dan juga masyarakat.



Jika ada salah silap, mohon tegurlah saya. Semoga kita bertemu di dalam artikel saya akan datang.




"Kamu hidup di atas muka bumi ini terbahagi dua golongan.



Jadilah kamu golongan yang bermanfaat, kerana kamu tidak mahu menjadi golongan yang sebaliknya, iaitu yang membebankan."

 -petikan minda

Wallahu alam.

Sumber

back to top