Gambar Hiasan |
GEORGE TOWN - Seorang bayi berusia setahun tujuh bulan didapati lemas dalam baldi dipercayai terjatuh di bilik air rumahnya di Flat MPP Jalan Sungai Dua, Sungai Nibong, semalam.
Dalam kejadian pada jam 10 pagi itu, mangsa, Jefril Mohd Amnan Mohd Jaki, dimandikan oleh ibunya sebelum meninggalkan mangsa bersama dengan kakaknya yang berusia lima tahun di dalam bilik air untuk mengambil tuala.
Semasa wanita itu sibuk mencari tuala, dia sempat memesan anak perempuan untuk perhatikan adiknya. Namun, sekembalinya ke bilik air, wanita itu mendapati bayi lelakinya itu telah terjatuh ke dalam baldi yang berisi air dalam keadaan tertonggeng di mana sebahagian badan mangsa berada di dalam baldi dan kaki di luar.
Wanita itu segera mengangkat anaknya dan mendapati muka mangsa kebiruan namun tangannya masih bergerak.
Ibu mangsa segera mengejutkan suaminya yang sedang tidur dan membawa mangsa terus ke klinik berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang.
Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia. Hasil bedah siasat mendapati, bayi itu maut disebabkan lemas dan tiada sebarang kecederaan dalaman atau luaran. - THEHYPEMEDIA.COM