Para ulamak berbeza pandangan
- Pandangan Imam Abu Hanifah, Malik dan Syafi’ie; duduk Tahiyyat/Tasyahhud dan juga membaca Tahiyyat/Tasyahhud semasa duduk itu hukumnya sunat sahaja (tidak wajib). Jika ditinggalkan tidak membatalkan solat, namun hukumnya makruh dan disunatkan sujud sahwi. Dalil mereka ialah dalam hadis Musi’ as-Solah di awal tadi (yakni hadis berkenaan seorang lelaki yang salah dalam menunaikan solat, lalu diajar oleh Nabi), Nabi s.a.w. tidak menyebutkan tentang tahiyyat/tasyahhud awal tatkala menerangkan kaifiyat solat. Selian itu, ada hadis menceritakan bahawa Nabi pernah tertinggal tasyahhud awal, namun baginda tidak mengulanginya, akan tetapi menggantinya dengan sujud sahwi sahaja.
- Pandangan Imam Ahmad; ia adalah wajib.[1] Dalil mereka arahan Nabi s.a.w.; “Apabila kamu duduk pada setiap dua rakaat, bacalah; “at-Tahiyyatul lillahi was-Solawati wat-Thaiyyibati…” (Riwayat Imam Ahmad, an-Nasai dan at-Thabrani dengan sanad yang soheh). Selain itu, ia tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi s.a.w.. (al-Mughni, 1/373)
Apa hukum duduk Tahiyyat/Tasyahhud Akhir?
Hukum duduk tahiyyat akhir adalah wajib dan merupakan rukun solat. Jika ditinggalkan batal lah solat.
Apakah cara duduk yang disunatkan ketika duduk Tahiyyat/Tasyahhud?
Disunatkan ketika tahiyyat awal duduk secara iftriraysh dan ketika tahiyyat akhir disunatkan duduk secara tawarruk. Duduk iftiraysh ialah dengan menghamparkan kaki kiri sebagai hamparan bagi punggung dan memacakkan kaki kanan. Adapun duduk tawarruk pula ialah dengan mengeluar/menghulurkan kaki kiri ke bawah kaki kanan dan pangkal paha (yakni punggung) diletakkan di atas lantai, adapun kaki kanan dipacakkan. Perbezaan antara dua jenis duduk tersebut berdalilkan hadis dari Abu Humaid r.a. yang menceritakan sifat solat Nabi s.a.w.; “Apabila baginda duduk sesudah dua rakaat, baginda duduk di atas kakinya yang kiri dan menegakkan tapak kakinya yang kanan. Apabila baginda duduk pada rakaat yang akhir, baginda mengulurkan tapak kakinya yang kiri (ke bawah betis kanan) dan menegakkan tapak kakinya yang kanan dan baginda duduk di atas punggungnya” (Riwayat Imam Bukhari).
Itu adalah pandangan sebahagian ulamak termasuk mazhab Syafi’ie. Sebahagian ulamak yang lain (antaranya Imam Abu Hanifah) berpandangan; cara duduk semasa Tahiyyat Akhir adalah sama seperti cara duduk semasa Tahiyyat Awal iaitu Iftiraysh. Mereka berdalilkan hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan sifat solat Nabi s.a.w.; “…Nabi membaca tahiyyat setiap selesai dua rakaat. Baginda (duduk tahiyyat dengan) menghampar kakinya yang kiri dan menegakkan kakinya yang kanan…” (Riwayat Imam Muslim). Dalam hadis ini ‘Aisyah r.a. hanya menyebutkan satu jenis duduk sahaja bagi Tahiyyat/Tasyahhud iaitu duduk Itiraysh.
Apakah yang dibaca semasa duduk Tahiyyat?
1. Bacaan Tahiyyat
2. Bacaan Selawat
2. Bacaan Selawat
Bacaan tahiyyat ialah:
التَّحِيَّاتُ المُبارَكاتُ الصَّلَواتُ الطَّيِّباتُ لِلَّهِ، السَّلامُ عَلَيْكَ أيُّهَا النَّبيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلامُ عَلَيْنا وعلى عِبادِ اللّه الصَّالِحينَ، أشْهَدُ أنْ لا إلهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأشْهَدُ أنَّ مُحَمَّداً رَسُولُ اللَّهِ
“Segala kerajaan/kekuasaan, limpahan barakah, selawat dan kalimah-kalimah yang baik adalah milik Allah. Selamat sejahtera ke atas engkau wahai Nabi serta rahmat Allah dan juga keberkatan-keberkatanNya. Selamat sejahtera juga ke atas kami serta ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Rasul Allah”. (Riwayat Imam Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.)
Bacaan Selawat pula ialah:
اللَّهم صلِّ عَلَى مُحمَّدٍ وعَلَى آلِ مُحمَّدٍ كما صلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وعَلَى آل إِبْرَاهِيْمَ وباركْ عَلَى مُحمَّد وعَلَى آلِ مُحمَّدٍ كما باركتَ عَلَى إِبْرَاهِيْم وعَلَى آل إِبْرَاهِيْم في العالمينَ إنَّكَ حميدٌ مجيدٌ
“Ya Allah, kurniakanlah selawat ke atas Muhammad dan ke atas ahli Muhammad sebagaimana kamu mengurniakan selawat ke atas Ibrahim dan ke atas ahli Ibrahim. Serta kurniakanlah barakah ke atas Muhammad dan ke atas ahli Muhammad sebagaimana engkau kurniakan barakah ke atas Ibrahim dan ahli Ibrahim dalam seluruh alam. Sesungguhnya Engkau maha terpuji lagi maha mulia”. (Riwayat Imam Muslim dari Ibnu Mas’ud)
Bagaimana kedudukan jari-jari tangan kita semasa Tahiyyat/Tasyahhud itu?
Ketika duduk tahiyyat, sunat kita meletakkan tangan kanan di atas paha kanan dalam keadaan jari hujung (yakni kelingking), jari manis dan jari tengah digenggam, sementara jari telunjuk dilepaskan dan diangkat serta diisyaratkan (menghala ke arah kiblat) ketika menyebutkan (إلا الله) sambil meniatkan di dalam hati tauhid dan ikhlas di mana ia terus diluruskan tanpa meletak atau menjatuhkannya. Ibu jari diletakkan pada jari tengah. Adapun tangan kiri, hendaklah diletakkan di atas paha kiri.
Cara kedudukan tangan di atas adalah berdalilkan hadis-hadis berikut:
- Hadis Ibnu ‘Umar r.a. yang menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila duduk di dalam solat, baginda meletakkan tapak tangannya yang kanan di atas paha kanannya dan baginda menggenggam semua jarinya dan memberi isyarat dengan jarinya bersebelahan ibu jari (yakni jari telunjuk). Adapun tapak tangan kirinya, baginda letakkan di atas paha kirinya”. (Riwayat Imam Muslim)
- Dari Ali bin Abdirrahman al-Maghafiri yang menceritakan dari Abdullah bin ‘Umar r.a. yang melihat seorang lelaki mengerak-gerakkan batu dengan tangannya ketika ia sedang solat. Apabila lelaki selesai solat, Abdullah berkata kepadanya; “Jangan mengerak-gerakkan batu semasa kamu berada dalam solat kerana itu adalah dari Syaitan. Akan tetapi lakukanlah sebagaimana yang dilakukan Rasulullah s.a.w.. Lelaki itu bertanya; “Bagaimana yang dilakukan baginda?”. Abdullah menjelaskan kepadanya; “Baginda meletakkan tangannya yang kanan di atas paha kanannya, mengisyaratkan jarinya yang bersebelahan ibu jari ke arah kiblat dan melontarkan pandangan matanya ke arah jari tersebut. Begitulah yang aku lihat dilakukan Rasulullah s.a.w.”. (HR Imam an-Nasai).
- Diriwayatkan dari Abdullah bin az-Zubair r.a. yang menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila duduk berdoa (semasa tasyahhud) baginda meletakkan tangannya yang kanan di atas pahanya yang kanan dan tangannya yang kiri di atas pahanya yang kiri. Baginda melakukan isyarat dengan jari telunjuknya, sementara ibu jari baginda letakkan pada jari tengahnya. Adapun tangan kiri, maka baginda meratakannya di atas lutut kirinya”.(Riwayat Imam Muslim)
- Dalam hadis riwayat Abu Daud dan an-Nasai, seorang sahabat bernama Wail bin Hujrin r.a. tatkala menceritakan sifat solat Nabi s.a.w., beliau memberitahu; “…Semasa Tahiyyat, Rasulullah s.a.w. meletakkan tangan kanannya (bermula dari siku) di atas paha kanannya, kemudian baginda menggenggam dua jari dari jari-jari tangannya (iaitu jari kelingking dan jari hantu) dan membentuk gelungan (dengan jari tengah/telunjuk dan ibu jarinya), kemudian mengangkat jari (telunjuk)nya. Aku melihat beliau menggerak-gerakkan jari telunjuknya itu sambil berdoa dengannya” (HR Imam an-Nasai dan Abu Daud). Di dalam hadis Abdullah bin az-Zubair tadi, diceritakan bahawa Nabi s.a.w. hanya meletakkan sahaja ibu jarinya pada jari tengahnya. Sedang di dalam hadis ini, baginda membentuk gelungan dengan dua jari tersebut.
Perlukah jari telunjuk kanan tadi digerak-gerakkan ketika mengangkat dan mengisyaratkannya tadi?
Hal ini terdapat khilaf di kalangan ulamak:
- Pandangan pertama; tidak perlu digerak-gerakkan kerana Nabi s.a.w. tidak melakukannya sebagaimana hadis riwayat Abu Daud dari Abdullah bin az-Zubair r.a. yang menceritakan;“Nabi s.a.w. memberi isyarat dengan jarinya (yakni jari telunjukkan) tatkala berdoa (semasa tasyahhud) dan baginda tidak menggerak-gerakkannya”.[2]
- Pandangan kedua; perlu menggerak-gerakkannya berdalilkan hadis dari Wail bin Hujrin r.a. yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan an-Nasai tadi yang menceritakan; “…Aku melihat beliau (yakni Nabi s.a.w.) menggerak-gerakkan jari telunjuknya itu (semasa Tasyahhud) sambil berdoa dengannya”.[3]
Menurut Imam al-Baihaqi; kedua-dua hadis tersebut adalah soheh. (Lihat; Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 240).
Nota Kaki:
[1] Rahmatul-Ummah, hlm. 34.
[2] Menurut Imam an-Nawawi; hadis ini sanadnya adalah soheh (Fiqh as-Sunnah, 1/119). Namun disanggah oleh al-Albani yang menegaskan; hadis ini tidak sabit dari Nabi dari segi sanadnya. (Lihat; Sifatu Solati an-Nabi, hlm. 158).
[3] Menurut Imam al-Baihaqi; ada kemungkinan bahawa yang dimaksudkan dengan at-tahrik dalam hadis ini ialah al-Isyarah biha (yakni menunjuk/mengisyaratkan dengan jari tersebut, bukan menggerak-gerakkannya berulang-ulang kali. Andaian ini dikemukakan untuk menyesuaikan hadis ini dengan hadis Ibnu az-Zubair yang dikemukakan oleh pandangan pertama tadi. (Fiqh as-Sunnah, 1/119).
[2] Menurut Imam an-Nawawi; hadis ini sanadnya adalah soheh (Fiqh as-Sunnah, 1/119). Namun disanggah oleh al-Albani yang menegaskan; hadis ini tidak sabit dari Nabi dari segi sanadnya. (Lihat; Sifatu Solati an-Nabi, hlm. 158).
[3] Menurut Imam al-Baihaqi; ada kemungkinan bahawa yang dimaksudkan dengan at-tahrik dalam hadis ini ialah al-Isyarah biha (yakni menunjuk/mengisyaratkan dengan jari tersebut, bukan menggerak-gerakkannya berulang-ulang kali. Andaian ini dikemukakan untuk menyesuaikan hadis ini dengan hadis Ibnu az-Zubair yang dikemukakan oleh pandangan pertama tadi. (Fiqh as-Sunnah, 1/119).
Sumber: http://fiqh-am.blogspot.com