Nazar dari segi bahasa bermakna perjanjian yang baik atau yang buruk manakala dari segi syara' pula dikhususkan kepada perjanjian yang baik sahaja.
Menurut istilah ulama fiqh, nazar bermaksud membuat iltizam untuk melakukan sesuatu kebajikan yang tidak wajib dari segi syara', samada dikaitkan dengan sesuatu ataupun tidak.
Pertama : Dalil pensyariatan nazar dan wajib menunaikan berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.
1. Al-Quran :
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadaNya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab siksanya merebak di sana sini".
[al-Insan ; 7]
Dan lagi firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya".
[al-Hajj ; 29]
2. Al-Sunnah :
Daripada Aisyah RAA, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Sesiapa yang bernazar mentaati Allah hendaklah dia mentaatinya, dan sesiapa yang bernazar untuk berbuat maksiat terhadap Allah janganlah dia melakukannya".
[HR Bukhari]
Daripada Imran bin Husain, Nabi SAW bersabda tentang mereka yang tidak menunaikan nazar :
Maksudnya : "Selepas kamu nanti akan terdapat golongan yang khianat, tidak beramanah, menjadi saksi tanpa diminta, bernazar tetapi tidak menunaikannya dan masing-masing kelihatan gemuk-gemuk belaka".
[HR Bukhari & Muslim]
Gambar Hiasan
Hukum Bernazar
Nazar ialah jenis ibadah yang disyariatkan untuk mendampingi Allah SWT. Justeru, menurut ulama fiqh, ia tidak sah daripada orang kafir. Bagaimana, seseorang itu afdhal terus melakukan ibadah yang dikehendaki tanpa membuat iltizam dengan bernazar. Ini bererti, sedekah yang dilakukan oleh seseorang secara bebas (اختيار) sebagai ibadah mendampingi Allah SWT lebih baik daripada sedekah yang dinazarkan.
Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW melarang seseorang bernazar, sabdanya bermaksud :
"Ia tidak boleh menolak sesuatu tetapi dengan nazar yang dibuat, si bakhil terpaksa menunaikannya".
[HR Bukhari & Muslim]
Ini bererti, nazar yang dikaitkan dengan sesuatu tidak akan mengubahnya sebagaimana yang ditetapkan oleh qadha' Allah. Ia hanya merupakan cara si bakhil memastikan dirinya berbelanja dan bersedekah. Ini kerana dia sendiri mengetahui bahawa sekiranya tidak menjadi wajib dengan sebab nazar itu, dia tidak akan mampu memaksa dirinya mengeluarkan belanja dan sedekah tersebut.