PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, menyerang Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang didakwanya menjadi barua UMNO berbanding menjaga keselamatan masyarakat.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu merujuk kepada tindakan polis menahan beberapa pemimpin politik dan peserta Bantah GST di ibu negara pada 1 Mei lalu.
“Tolong beritahu Ketua Polis Negara, mahu jadi Ketua Polis Negara yang menjaga keselamatan rakyat atau mahu jadi barua UMNO dan BN,” katanya di di Kubang Ulu pada Ahad, lapor bnbbc.com
Katanya, rakyat akan terus membenci jika Khalid tidak mempunyai prinsip dan rela membiarkan dirinya menjadi pencacai UMNO.
“Rakyat minta jadi Ketua Polis Negara yang ada maruah dan prinsip, baru kita hormat. Kalau tidak, rakyat akan benci pada kamu kerana kamu penjadi pencacai kepada UMNO dan BN,” katanya.
Azmin turut mencabar agar rakaman ucapannya itu diserahkan kepada Khalid.
Setiausaha Agung PSM, A Arutchlevan, bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga, Anthony Loke (DAP), Dr Hatta Ramli (Pas) dan Rafizi Ramli (PKR) ditahan selepas terlibat dalam perhimpunan itu.
Mereka dibebaskan selepas mahkamah menolak permohonan reman oleh polis dipercayai kerana tuduhan tidak munasabah.
Sehingga kini, lebih 20 peserta perhimpunan itu ditahn reman bagi membantu siasatan.