THE HAGUE, Belanda- Mayat salah seorang mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada Julai lalu ditemui dalam keadaan memakai topeng oksigen.
Penemuan yang disahkan oleh Menteri Luar Belanda, Frans Timmermans dan pengesahan yang diberikan oleh seorang pendakwa raya menguatkan lagi kemungkinan bahawa beberapa penumpang mengetahui bahawa pesawat berkenaan akan terhempas.
"Anda tahu ada beberapa mayat penumpang ditemui memakai topeng oksigen dan mempunyai masa untuk berbuat demikian," kata Timmermans dalam satu temu bual bersama sebuah stesen televisyen tempatan kelmarin.
Seorang pendakwa raya dari Belanda mengesahkan perkara itu semalam bahawa mereka sedang melakukan siasatan selepas beberapa topeng oksigen ditemui tersangkut pada leher mangsa nahas.
"Waktu sebenar dan bila topeng itu dipakai oleh mangsa tidak diketahui.
"Institut Forensik Belanda telah memeriksa topeng oksigen (yang ditemui) bagi mengesan cap jari, air liur dan DNA mangsa tetapi keputusan daripada siasatan tersebut tidak didedahkan," kata pendakwa raya. - AFP