7 kesilapan yang kerap dilakukan oleh pemandu kereta
Kita sudah pun memiliki lesen memandu dan sebuah kereta untuk dipandu. Sudah sekian lama memandu hingga terlupa beberapa perkara yang kita pelajari semasa di sekolah memandu dahulu. Artike 10 kesilapan yang kerap dilakukan oleh pemandu kereta ini akan mengimbas semula apakah jenis kesalahan yang kerap kita lakukan semasa memandu.
1. Menggunakan telefon semasa memandu. Dahulu ada kemudahan pembesar suara di telefon bimbit, namu perkembangan teknologi mesej seperti WhatApps, Telegram dan WeChat telah membuatkan tabiat ini menjadi semakin parah. Sambil memandu jari-jemari ligat menaip mesej. Selain itu, perbuatan mengambil gambar atau merakam video semasa memandu juga boleh mengganggu tumpuan ketika memandu.
2. Lampu kecemasan dinyalakan semasa hujan lebat. Bila hujan lebat melanda sehingga jalan tidak nampak jelas, akan ada ramai pemandu menyalakan lampu kecemasan. Ini adalah tindakan yang tidak betul. Sebenarnya, lampu kecemasan hanya perlu dipasang sekiranya kenderaan anda tidak bergerak lagi.
3. Tidak menyalakan lampu semasa hujan lebat di siang hari. Ada waktu hujan melanda, suasana di sekeliling menjadi gelap seakan-akan waktu malam. Hujan yang turun dengan lebat mengeruhkan lagi suasana. Jadi pasanglah lampu pada waktu ini. Bukan semata-mata untuk kemudahan pemanduan anda tetapi memudahkan pemamndu lain melihat kenderaan anda.
4. Memandu perlahan di lorong kanan. Lorong kanan adalah laluan untuk memandu secara laju. Sebahagian pemandu gemar memandu secara perlahan di sini sehingga menyukarkan perjalanan pemandu lain. Kadang-kadang lori pun memandu di lorong kanan secara perlahan.
5. Kedekut lampu isyarat. Ada sebuah majalah berbahasa Inggeris mengatakan bahawa bahagian yang paling ajaib pada sebuah kereta ialah lampu isyarat. Kenyataan ini amat benar kerana ramai pemandu kereta lupa untuk memberikan isyarat lampu semasa hendak membelok atau memotong. Baik kereta tempatan atau berjenama import, kedua-duanya sama sahaja.
6. Memotong dalam kesesakan lalulintas. Boleh dikatakan pemandu yang pentingkan diri sendiri. Boleh pula beri isyarat lampu tinggi sebab nak memotong. Kalau berjaya sekali pun di hadapan sana masih lagi sesak dengan kenderaan.
7. Memintas laluan di plaza tol. Hanya mereka yang luar biasa sahaja akan bertindak sebegini. Di plaza tol pemandu biasanya akan beratur. Satu lagi tabiat di plaza tol ialah salah lorong. Nak bayar guna Touch & Go tetapi masuk lorong Smart Tag. Bila transaksi sudah gagal, pemandu lain pun terasa sengal. Kena undurkan kenderaan kerana perlu beri laluan.
Kesimpulannya, jalan raya bukanlah hak kita seorang diri. Ia adalah kemudahan yang perlu dikongsi bersama dengan pemandu yang lain. Bukan juga tempat untuk berlumba atau mempamerkan kehebatan kenderaan yang dipandu. Jadi sama-samalah kita bertimbang rasa supaya 7 kesilapan yang kerap dilakukan oleh pemandu kereta ini tidak berulang lagi.