Isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datin Habibah Mahmud antara enam yang terbunuh apabila helikopter yang dinaiki terhempas ke atas sebuah sekolah di utara Lembah Naltar, Pakistan.
Suaminya, Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar dimaklumkan hanya cedera dan kini dirawat di Hospital Gilgit.
Perkara itu disahkan Penasihat Kedutaan Malaysia ke Pakistan, Aiyub Omar ketika dihubungi Harian Metro sebentar tadi.
Aiyub berkata, turut terbunuh dalam nahas berkenaan adalah isteri Duta Indonesia, Duta Norway dan Duta Filipina serta juruterbang dan pembantu juruterbang.
Dr Hasrul Sani bersama diplomat luar yang lain dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke utara Pakistan anjuran Kementerian Luar negara itu.
Menurutnya, Dr Hasrul Sani dan isterinya menaiki helikopter jenis Mi-17 milik tentera Pakistan bersama 14 diplomat lain.
Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan di mana jenazah Habibah akan dikebumikan.