Anak Mengamuk Hentak Bapa dengan TV

No Comments
Kuala Terengganu: Warga emas kini bertarung nyawa selepas kepalanya terkoyak akibat dihentak televisyen plasma dan meja kecil oleh anak lelakinya yang hilang kewarasan di Kampung Losong Datuk Amar, di sini, pagi tadi.
Parah di kepala

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, mangsa, Tahar Mohammad, 73, yang tinggal bersama suspek berusia 40 tahun itu dikatakan sedang duduk di atas sofa menonton televisyen di ruang tamu kediamannya sebelum dihampiri suspek yang mengamuk dan mengangkat televisyen berkenaan lalu menghentak kepala bapanya.
"Tidak cukup dengan itu, suspek dipercayai mengangkat satu meja kecil dan sekali lagi menghentak kepala bapanya," katanya, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, suspek positif dadah jenis morfin dan sudah ditangkap di lokasi kejadian.
"Suspek dipercayai memukul bapanya dengan televisyen dan meja kecil. Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

back to top